Apabila takut dengan bayang-bayang sendiri

Wednesday, June 9, 2010 4:26 PM Posted by umiefull
 Bismillah..

"Peristiwa ke atas anak kapal Mavi Marmara ini juga menunjukkan bahawa kita tinggal di dalam kepompong pemikiran kita sendiri yang menghalang kita dari melihat dunia dari perspektif penghuni dunia yang lain. Ahli psikiatrik mungkin akan membuat kesimpulan bahawa ini adalah tanda-tanda penyakit mental yang serius."


[Uri Avnery-Ketua kumpulan keamanan Israel]

Sedar tak sedar, dah 9 hari berlalu semenjak peristiwa berdarah 31 MEI 2010..
Isu besar ummat Islam yang mana kini telah menjadi isu besar ummat dunia secara keseluruhannya.


Alhamdulillah..
Perjuangan aktivis2 dari serata dunia telah berjaya membuka mata dunia
yg selama ini lena di dalam dunia sendiri..

Baru-baru ini, Uri Avnery (seorang Yahudi) dilaporkan telah dibelasah oleh Puak Yahudi berhaluan kanan di Israel, kerana menulis analisa tentang kejadian yang berlaku ke atas anak kapal Mavi Marmara baru-baru ini.
Beliau merupakan ketua kumpulan keamanan Israel, ‘Gush Shalom’


Moga-moga dengan doa2 kita setiap hari, memberikan ketenangan ke dalam hati
para pejuang Islam serta mampu memecah-belahkan kesatuan musuh2 Islam..


Tontoni video mengenai Parlimen Israel yang kecoh rentetan peristiwa 31 Mei 2010..

Berikut dilampirkan tulisan beliau untuk tatapan semua.


Bunuh seorang Turki dan Berehat seketika oleh Uri Avnery.

Di tengah-tengah laut dalam di perairan antarabangsa, sebuah kapal telah di tahan oleh tentera laut. Pihak komando menyerbu ke atas kapal. Beratus-ratus anak kapal itu cuba melawan dan pihak komando tentera laut membalas dengan kekerasan. Beberapa orang anak kapal telah terkorban, dan banyak yang cedera. Kapal itu kemudiannya di bawa ke pelabuhan dan semua penumpang di paksa turun dari kapal. Seluruh dunia dapat menyaksikan kejadian ini di pelabuhan, di mana anak kapal, lelaki dan perempuan, tua dan muda, semuanya dalam keletihan seorang demi seorang di kerah berbaris di antara dua orang askar…..

Kapal itu bernama “Exodus 1947”. Ia meninggalkan Perancis dengan harapan dapat menembusi sekatan Britain yang pada masa itu membuat sekatan laut menghalang pelarian ‘Holocaust’ daripada memasuki perairan Palestin. Jika dibenarkan memasuki perairan Palestin, para pelarian pasti akan mendarat di pantai Palestin dan pihak Britain terpaksa membawa mereka ke kem tahanan di Cyprus, sebagaimana yang mereka biasa lakukan sebelum ini. Episod ini biasa berlaku pada masa itu dan tiada siapa yang mempedulikannya lebih dari dua hari.
Tetapi orang yang berkuasa di Britain pada masa itu adalah Ernest Bevin, ketua Parti Buruh. Dia adalah seorang menteri di Britain yang gila kuasa, biadap dan angkuh. Dia tidak akan membenarkan beberapa orang Yahudi daripada melawan tindakannya. Dia telah membuat keputusan untuk mengajar mereka supaya seluruh dunia dapat menjadi saksi. “Ini adalah satu provokasi!”, kata Ernest Bevin dan dia sememangnya betul. Tujuan provokasi di atas kapal itu adalah untuk mengalih perhatian seluruh dunia ke atas sekatan Britain di perairan Palestin.

Kesudahan kisah ini semua orang pun tahu. Lama kelamaan, penduduk dunia semakin lama semakin perihatin dan bersimpati dengan para penumpang kapal Exodus 1947. Tetapi pihak berkuasa Britain tidak mempedulikan kecaman masyarakat antarabangsa dan akhirnya Britain terpaksa membayar harga yang mahal atas kedegilannya.

Banyak orang percaya, kisah pelarian ‘Exodus 1947’ ini merupakan titik tolak penubuhan Negara Israel di bumi Palestin. Britain akhirnya terpaksa akur dengan tekanan menggunung dari masyarkat antarabangsa dan akhirnya melepaskan tanggungjawabnya ke atas Palestin. Sudah pasti, ada banyak lagi kisah dan peristiwa yang menjadi penyebab tertubuhnya Negara Israel, tetapi ramai yang berpendapat kisah pelarian ‘Exodus 1947’ inilah merupakan pemangkin utama.

Bukan saya seorang sahaja yang terkenang akan peristiwa Exodus 1947 dalam minggu ini. Sebenarnya, adalah mustahil bagi orang yang pernah tinggal di bumi Palestin pada masa itu dan menjadi saksi kisah pelarian Exodus 1947 itu tidak ingat akan kejadian lampau berikutan peristiwa ke atas anak kapal Mavi Marmara baru-baru ini.

Sudah tentu ada banyak perbezaan utama di antara kedua-dua kisah tersebut. Penumpang ‘Exodus 1947’ adalah orang-orang yang terselamat daripada peristiwa ‘Holocaust’ manakala anak kapal Mavi Marmara adalah sukarelawan dari seluruh dunia. Tetapi persamaan ketara kedua-dua kejadian adalah seluruh dunia dapat melihat kekejaman tentera yang lengkap bersenjata menyerang anak kapal yang tidak bersenjata, yang cuba sedaya upaya mempertahankan diri dengan sedaya upaya dengan hanya mengunakan tangan dan kayu. Dulu kejadian berlaku di perairan antarabangsa iaitu 40 kilometer dari pantai Palestin dan sekarang is berlaku 65 kilometer dari pantai Palestin.

Jika kita cuba lihat peristiwa dahulu, tindakan pihak berkuasa Britain nampak bodoh tetapi kita harus ingat bahawa Ernest Bevin bukan orang yang bodoh dan pihak berkuasa tentera yang memberi arahan menggunakan kekerasan pada masa itu juga pun bukan orang yang sangat bangang. Mereka ini adalah pihak yang menang semasa Perang Dunia Pertama satu masa dahulu.

Berbalik kepada kisah sekarang, Ehud Barak adalah Bevin Israel. Dia pun bukan si bodoh, begitu juga orang atasan dalam tentera Israel. Walau bagaimanapun, mereka mereka inilah yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang sangat bodoh, yang boleh memberikan implikasi buruk yang sangat sukar dibayangkan. Yossi Sarid, bekas Menteri Israel dan kini seorang pengulas mengatakan mereka yang terdiri dari tujuh orang ahli jawatankuasa yang membuat keputusan berkenaaan keselamatan Israel ini adalah ‘Tujuh Si Bodoh”. Bagi saya gelaran bodoh kepada mereka merupakan satu penghinaan kepada orang bodoh kerana mereka ini lebih bodoh dari orang bodoh.

Persediaan untuk penghantaran bantuan ke Gaza melalui kapal-kapal ini telah dibuat lebih dari setahun yang lalu. Beratus-ratus email telah berbalas-balasan dalam komunikasi untuk pembikinan projek ‘flotilla’ ini. Saya sendiri telah menerima email berkenaan perkara ini. Tiada rahsia tentang projek berkenaan. Ia adalah projek terbuka yang diketahui umum.

Pihak berkuasa Israel mempunyai banyak masa untuk menangani rancangan penghantaran bantuan ke Gaza melalui jalan laut ini. Banyak tidakan telah dibuat dan dirancang tetapi satu pun tidak dapat membantu dan menyelesaikan perkara ini di pihak Israel.
Idea bernas penghantaran ‘Flotilla’ ini adalah untuk memecahkan sekatan haram Israel ke atas Palestin. Tindakan ini memberikan dilema kepada Israel dan semua altenatif tindakbalas kepada tindakan pihak sukarelawa tidak menguntungkan kerajaan Israel sama sekali.

Alternatif tindakan yang boleh di ambil oleh pihak Israel adalah seperti berikut:
(a) Membenarkan ‘flotilla’ sampai ke Gaza tanpa sebarang halangan. Setiausaha kabinet Israel menyokong alternatif ini. Tindakan ini boleh menyebabkan sekatan Israel akan berakhir kerana jika ‘flotilla’ dibenarkan masuk, maka akan datang pasti akan ada bayak lagi ‘flotilla’ yang lebih besar menyusul.
(b) Menahan kapal-kapal tersebut di perairan Israel dan memeriksa kargo yang dibawa untuk memastikan mereka tidak membawa senjata atau pengganas. Seterusnya membenarkan kapal-kapal itu meneruskan perjalanan mereka. Tindakan ini mungkin akan menyebabkan sedikit protes dari masyarakat antarabangsa tetapi pihak Israel masih dapat mengekalkan prinsip sekatan ke atas Palestin.
(c) Menawan kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa dan membawa mereka ke pelabuhan Ashdod. Tindakan ini membawa risiko penentangan dengan para aktivis di atas kapal.

Seperti kebiasaan yang dilakukan oleh kerajaan kita apabila berhadapan dengan pilihan-pilihan yang buruk, Kerajaan Israel pimpinan Netanyahu memilih pilihan ketiga iaitu pilihan yang paling buruk.
Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan dan persediaan penghantaran ‘flotilla’ ini pasti dapat menjangkakan tindakan menawan kapal pasti akan mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Seseorang tidak boleh fikir dia akan di sambut oleh budak-budak perempuan yang comel-comel dilengkapi dengan kalungan bunga semasa cuba menawan kapal Turki. Orang Turki bukanlah orang lembut yang senang mengalah, mereka pasti melawan.

Arahan yang diberikan kepada pihak komando dalam serang tersebut adalah mesti menawan kapal tersebut dengan apa jua cara sekalipun. Ini mengakibatkan keselamatan anak kapal tersebut tidak dipedulikan sama sekali. Yang penting adalah keselamatan diri mereka sendiri dan mencapai objektif menawan kapal itu.
Jika Binyamin Netanyahu, Ehud Barak, Ketua Staff and Komander Tentera Laut tidak menyedari bahawa tindakan menawan kapal bantuan dari Turki itu akan mengakibatkan pertumpahan darah dan kematian, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka-mereka ini tidak layak untuk memegaang kuasa di Israel. Mereka ini perlu di ingatkan dengan kata-kata Oliver Cromwell di Parlimen di satu masa dahulu. 
Cromwell pernah berkata, “Kamu telah berada di tampuk kuasa sangat lama dan sudah tidak memberi apa-apa kebaikan lagi. Pergi! Kami sudah habis dengan kamu. Dengan nama tuhan, Berambus!”.

Peristiwa ke atas anak kapal Mavi Marmara ini juga menunjukkan bahawa kita tinggal di dalam kepompong pemikiran kita sendiri yang menghalang kita dari melihat dunia dari perspektif penghuni dunia yang lain. Ahli psikiatrik mungkin akan membuat kesimpulan bahawa ini adalah tanda-tanda penyakit mental yang serius.
Propaganda kerajaan Israel dan tentera memberikan gambaran bahawa pihak tentera kita yang gagah berani, sensitif dan berkaliber telah menaiki kapal Mavi Marmara untuk berunding tetapi telah diserang anak kapal tersebut yang bertindak liar tanpa mengikut norma-norma kemanusiaan.
Pada hari pertama kejadian, boleh dikatakan semua media Israel menerima versi di atas. Sememangnya orang Yahudi termasuklah tentera Israel seringkali menjadi ‘mangsa’. Memang benar kita telah menyerang dan menawan kapal asing yang dilihat sebagai ‘ancaman’ kepada keselamatan Negara kita, tetapi cuba lihat pada persepktif anak kapal yang tiada pilihan selain dari mempertahankan diri dari diceroboh dan diserang oleh komando tentera kita.

Tragedi ini juga mengingatkan kita kepada ungkapan orang Yahudi yang popular iaitu, “Bunuh Seorang Turki dan rehat seketika”. Peribahasa berkenaan adalah pesanan seorang ibu Yahudi di Rusia yang berpesan kepada anaknya yang sedang bersiap menyertai tentera Czar Rusia dalam perang menentang Turki pada tahun 1877.
Ibu Yahudi itu berkata, “Anakku, dengar sini, bila kau berada di barisan hadapan, bunuh seorang tentera Turki dan kau berehatlah. Kemudian bunuh lah seorang lagi tentera Turki dan kamu berehat lah.”
Anaknya membalas, “Tapi ibu, jika berehat, tentera Turki mungkin akan cuba membunuh aku.”
Si Ibu dengan terkejut menjawab, “Ya Tuhanku, apa masaalah tentera Turki dengan kau wahai anakku?.”
sumber : 
[palestinkini.info/9 jun 2010]
The Palestine Telegraph dan Tikkun Magazine
penterjemah : ahmad rusydan





Wallahua'lam

0 Response to "Apabila takut dengan bayang-bayang sendiri"

Post a Comment